Pempengaruh Media Sosial Boss Mario Hilang, Kereta Ditemui di Pantai Klebang

Pempengaruh media sosial yang popular di Facebook dikenali sebagai Boss Mario dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Pertam Jaya, Semabok, awal pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit, kehilangan pempengaruh itu dilaporkan oleh abangnya, Yew Boon Xiang, 30, selepas tidak menjawab panggilan telefon berkali-kali sejak jam 8 pagi.

“Panggilannya yang berkali-kali tidak berjawab dan perkara itu tidak pernah berlaku. Disebabkan itu, abangnya pergi ke rumah Boss Mario di Taman Pertam Jaya, Semabok untuk memeriksa keadaan, namun adiknya itu tidak ada di rumah.

“Hasil semakan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati adiknya itu keluar rumah dengan menaiki keretanya jenis Honda City pada 3 pagi, sebelum dia mendapat tahu bahawa kereta itu diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci pada 6 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Boss Mario agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber : Awani