Pembunuhan Dirancang Rapi dan Luar Biasa, 6 Lelaki Bunuh Kevin Morais Kekal ke Tali Gantung

Enam lelaki kekal ke tali gantung oleh Mahkamah Rayuan atas sabitan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dalam kejadian yang menyayat hati sembilan tahun lalu.

Keenam-enam individu tersebut adalah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R .Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S.Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R.Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M. Vishwanath, 34, dan S. Nimalan, 31.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hadhariah berkata, kejadian pembunuhan terhadap si mati (Kevin) adalah sesuatu yang dirancang dengan rapi dan luar biasa.

“Mengambil kira kejadian tidak cukup dengan membunuh si mati, kereta si mati dibakar, barang-barang peribadi dibuang, maka kejadian bunuh ini boleh dikatakan kejadian bunuh luar biasa daripada yang biasa-biasa.

Keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Sumber : Awani, Kosmo