Pelajar IPG Kesal Tidak Layak Terima eBelia Rahmah, Mahu Hak Diberi Sama Rata

GOLONGAN belia yang berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa akan menerima kredit RM200 bagi program eBelia Rahmah bermula hari ini, 26 Jun 2023.

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), tempoh pendaftaran dan tuntutan eBelia itu adalah sehingga 22 Ogos depan dan mereka yang layak boleh mendaftar melalui satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Rata-rata golongan muda khususnya penuntut universiti amat mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi membantu mengurangkan beban memandangkan jumlah kali ini juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu RM150.

Memetik ciapan Soundriya Samy Nathan, dia meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengapa pelajar IPG tidak layak menerima eBelia.

“Kehadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami sebagai pelajar IPG ingin tahu mengapa kami tidak layak untuk menerima eBelia Rahmah yang sepatutnya diberikan kepada golongan belia dan pelajar IPT sepenuh masa.

“Adakah kami tidak dinilai sebagai seorang pelajar,” katanya seperti dipetik dalam satu ciapan.

Bahkan, isu ini juga turut mendapat perhatian Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut memuat naik satu ciapan di Twitter miliknya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pelajar IPG diketepikan bagi menerima insentif selepas setengah tahun menunggu.

“Alhamdulillah, lepas lebih setengah tahun menunggu, akhirnya eBelia dikreditkan.

“Tetapi kenapa pelajar IPG ditinggalkan? Mereka juga pelajar sepenuh masa dan bakal guru.

“Pelajar-pelajar IPT lain semua dapat tidak kira kaya atau miskin dan tidak kira pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS),” ujarnya.

Sehingga kini tiada maklum balas daripada Perdana Menteri dan Sinar Bestari berharap agar ia dapat diselesaikan dan eBelia Rahmah ini dapat diberi sama rata kepada mereka yang sememangnya layak.

Sumber gambar – carsifu | Sumber laporan – Sinar Harian