Pasangan penjawat awam dicekup guna MySejahtera palsu

SEPASANG suami isteri sanggup membeli sijil vaksinasi COVID-19 palsu bertujuan untuk tidak terkecuali dari tindakan tatatertib serta mendapatkan bayaran bonus tahunan. 

Pasangan suami isteri yang juga merupakan penjawat awam itu bertugas dalam satu jabatan yang sama bagaimanapun ‘kantoi’ apabila berjaya dicekup polis. 

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, sijil palsu berkenaan dibeli dengan harga RM500 setiap satu menerusi rakannya yang berusia 58 tahun. 

“Kegiatan pasangan ini menggunakan sijil vaksinasi palsu mula terbongkar selepas pihak jabatan curiga dengan aplikasi ‘MySejahtera’ berstatus vaksin lengkap dua dos yang dimiliki mereka sebelum membuat semakan di Klinik Kesihatan Rembia.

“Hasil semakan klinik berkenaan kemudian mendapati kedua-dua mereka tidak pernah menerima apa-apa vaksin sebelum laporan polis dibuat kerana mereka telah menipu pihak jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tindakan itu bagaimanapun diakui sendiri oleh pelaku yang mendapatkan sijil itu melalui rakan yang juga bertugas di jabatan yang sama. 

Kesemua mereka ditahan pada Selasa lalu di sekitar Melaka termasuk rampasan terhadap telefon bimbit suspek. 

Setakat ini, polis sedang giat memburu suspek yang dipercayai dalang kepada penjualan sijil palsu terbabit. 

Hasil siasatan awal, kesemua yang ditahan juga merupakan kumpulan anti vaksin yang pernah tampil membuat laporan polis pada tahun lalu berhubung keengganan mereka menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati rakan sekerja yang bertindak sebagi orang tengah itu telah mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu ini daripada suspek yang masih bebas, yang digelar nama ‘Vnilai’.

“Sijil vaksinasi berkenaan juga boleh digunakan untuk mengimbas kod QR bagi memasuki premis perniagaan dan pihak polis sedang memburu suspek lain yang disyaki terlibat,” katanya lagi.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.