Hairul Azreen Sudah Puas Berlakon, Mahu Lihat Anak Membesar Depan Mata

mStar

Kuala Lumpur: “Saya sudah puas dengan apa yang saya buat dan pada masa sama mahu melihat anak-anak membesar serta fokus pada bisnes,” kata pelakon terkenal Hairul Azreen. 

Hairul berkata demikian ketika ditemubual radio Era mengenai keputusannya untuk berhenti dari bidang lakonan.

Menurut Hairul atau nama sebenar, Hairul Azreen Idris, 35, dia juga sudah puas dengan apa yang dikecapinya  dalam bidang lakonan.

“Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kerana sudah dapat semuanya.

“Bermula dari kerja belakang tabir, ekstra, pengarah hinggalah menjadi produser.

‘Saya juga sudah buat semua benda, dari menjadi stunt kepada pelakon, saya juga berdoa menjadi hero dan dapat menjadi hero untuk filem aksi,” katanya.

Mengenai filem pula, kata Hairul Azreen, filem Malbatt: Misi Bakara arahan Adrian Teh adalah filem terakhirnya sebagai anggota tentera dan sebagai pelakon.

“Filem lakonan saya, Paskal berjaya menarik seramai 40 peratus orang untuk menjadi anggota tentera.

” Sebab itu, saya sentiasa mahu buat yang terbaik untuk semua filem lakonan kerana macam-macam sudah dilalui termasuk mengalami kecederaan dan sebagainya sebelum ini.

“Saya mahu akhiri perjuangan dalam bidang lakonan dengan filem Malbatt: Misi Bakara yang boleh buat orang kita bangga dengan filem Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan Hanis Zalikha pula membabitkan keputusannya untuk berhenti dari bidang lakonan itu, kata Hairul, isterinya juga sudah lama tidak berlakon.

“Ada orang tidak sempat hendak tengok emak dan bapa mereka kerana sibuk bekerja. Alhamdulillah, emak saya masih ada.

“Menerusi kajian saya sendiri, buat filem memerlukan tempoh enam bulan untuk buat badan dan sebagainya. Bila habis filem, saya tengok anak-anak pun sudah besar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hairul, dia dan isteri masih aktif di platform media sosial.

“Saya hanya berhenti dalam bidang lakonan tetapi peminat masih boleh mengikuti perkembangan kami di media sosial menerusi laman Instagram dan aplikasi TikTok,” katanya.

Sumber: Harian Metro