Nazmi Terpilih Antara Calon Pengadil Piala Dunia 2026

Pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin telah dipilih menyertai kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ iaitu sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Nazmi yang mula menceburi bidang pengadil bola sepak sejak tahun 2010 merupakan pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan AFC Champions League yang mengunakan Video Assistant Referee (VAR) iaitu ketika perlawanan yang berlangsung pada 20 September 2023 di Thailand melibatkan Buriram United menentang kelab China, Zhejiang FC.

Hubungan akrab di antara Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal telah membuka ruang buat Nazmi untuk dihantar ke Arab Saudi bagi mendapatkan Lesen VAR dan pada Ogos 2023, Nazmi telah diiktiraf oleh FIFA sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia.

Nazmi telah dipilih untuk menyertai Kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari 2024 di Qatar.

Nazmi juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.