“Bila Sudah Gagal, Cuba Bagi Alasan” – Persekutuan Renang Anggap Pandelela Bagi Alasan Kegagalan di Doha

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri susulan kegagalannya di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Setibanya di tanah air, Pandelela mendedahkan terdapat kemelut dalaman dalam kem terjun negara yang menjadi antara punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low menyifatkan ia sebagai alasan bagi menutup kegagalan di Doha memandangkan pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum kejohanan berlangsung.

“Sejak kita ambil alih, kami ada bertemu dengan atlet, tiga atau empat kali. Ketika latihan pun kami ada berbincang, kami juga ada beritahu sekiranya ada masalah boleh jumpa kami.

“Bila tanya ada masalah atau tidak, semua kata tiada masalah.

“Bagi saya ini adalah lumrah manusia biasa, bila sudah gagal, cuba bagi alasan… tolak kiri kanan.

“Kami memang tidak tahu apa yang diperkatakan oleh Pandelela itu tetapi selepas ini kami akan siasat. Kami akan panggil dia dan bersemuka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dakwaan ini,” kata Andy kepada BH Sukan.

Persatuan menghormati Hasrat Pandelela yang masih belum mahu bersara.

“Tidak ada masalah itu hak rakyat, anda tidak mahu bersara mahu ‘loncat’ sampai 60 tahun pun saya terima tetapi bila ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MAS anda tidak boleh capai, anda tahu pintu itu di mana.

“Tak perlu kita halau, kita halau kata orang tak elok, dia pun sudah banyak naikkan nama Malaysia tetapi bila anda bukan lagi dalam keadaan seperti dulu, harus sedar diri, kalau dia mahu cakap macam itu kita guna KPI, setiap tahun anda mesti capai KPI, kalau tidak boleh capai tidak boleh salahkan kami,” katanya.

Sumber : Berita Harian