Anak Sepak Terajang, Pukul Ibu Guna Tukul Empat Jam

Seorang warga emas cedera diterajang dan dipukul menggunakan tukul oleh anak lelakinya sendiri di sebuah flat Jalan Gangsa, Jelutong, Pulau Pinang malam tadi.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shaari Mansor, pihaknya menerima panggilan ancaman bunuh diri pada pukul 10.57 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Ketika pihak bomba sampai ke lokasi kejadian, suspek yang berusia 40-an bertindak agresif dengan mencederakan ibunya dengan tukul serta mengacu objek tajam ke arah wanita yang berusia lingkuan 60-an itu.

Suspek yang berada di bawah pengaruh dadah juga mengancam membunuh diri dengan membuka dua tong gas petroleum cecair (LPG) bagi tujuan untuk menakutkan pasukan penyelamat.

“Suspek bertindak memukul ibunya, sejurus melihat pasukan polis dan bomba berada di hadapan rumahnya sehingga kami terpaksa beredar untuk mengelak tindakannya yang lebih agresif.

“Ibu suspek kemudiannya dilepaskan sendiri olehnya selepas permintaan lelaki itu untuk pihak polis dan bomba beredar dari lokasi berkenaan dituruti.

Pasukan bomba dan polis mengambil masa hampir empat jam untuk menyelamatkan mangsa.

“Lelaki berusia 40-an itu turut mengancam membuka dua unit tong gas jenis LPG. Anggota kemudiannya membuka satu aliran bertekanan tinggi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran dan memecah masuk pintu pagar kediaman terbabit” katanya kepada Kosmo! di sini.

Beliau memberitahu lagi, suspek telah diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan St. John sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat tamat pada pukul 2.46 pagi.

 

Sumber : Kosmo