Nak ‘dine in’ ? Perlu lengkap vaksin, Antivax ok ke tu?

Food photo created by tirachardz - www.freepik.com

PASTI ramai yang rindukan suasana untuk menikmati makan di kedai atau memasuki mana-mana premis bagi tujuan pembelian.

Bagaimanapun kesemua akses bagi kemudahan itu masih tertakluk kepada syarat individu yang lengkap vaksinasi.

Penguatkuasaan tersebut adalah terpakai bagi semua negeri di bawah fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan perkara itu berhubung kekeliruan orang ramai mengenai kebenaran untuk ‘dine in’.

“Keperluan vaksinasi lengkap untuk dine-in kekal bagi semua fasa pemulihan.

“Peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dikemaskini,” katanya.

Beliau turut memberitahu satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan menyentuh mengenai perkara tersebut.

Baru-baru ini, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 memutuskan peralihan fasa PPN melibatkan beberapa negeri berkuatkuasa 1 Oktober 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan peralihan Fasa 2 kepada Fasa 3 di kawasan Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor.

Sementara Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Kedah pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.