Gangguan Seksual: Polis panggil semula pendakwah terkenal

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah memanggil semula pendakwah terkenal melibatkan isu gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya telah memanggil individu tersebut pada 30 September lalu bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan apa-apa bahan di mana-mana platform untuk mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes gangguan seksual melibatkan individu sama.

Ini termasuk penyebaran yang dilakukan beberapa pihak di media sosial mengenai dakwaan mangsa yang menjadi gangguan seksual.

Sebelum ini juga, individu sama dikatakan telah dipanggil beberapa kali ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kes sama.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan pendakwah tersebut selain menyifatkan ia merupakan satu fitnah yang kejam.