Mimpi Ngeri Pengantin, Katerer Tak Muncul di Majlis Perkahwinan

Pasangan pengantin mengalami ‘mimpi ngeri’ apabila katerer yang ditempah tidak muncul pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Dewan Maktab Rendah Sains MARA, Serting.

Berikutan itu, keluarga kepada pengantin mengalami kerugian sebanyak RM 13, 000 dan terpaksa memasak hidangan makanan buat tetamu yang hadir.

Abang kepada pengantin terbabit, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihak katerer sepatutnya menyediakan hidangan untuk 1,000 tetamu tetapi tidak memberikan maklum balas pada saat-saat akhir.

“Untuk makluman semua, kami telah menjadi mangsa penipuan. Katerer ditempah oleh adik kami tidak hadir. Banyak kali kami cuba call, tapi tiada respons.

“Jadi kami adik beradik memilih masak sendiri. Hanya kemampuan kami siapkan anggaran 400 pax makanan.. itu pun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah dan ulam-ulaman,” katanya

Burhanuddin juga sudah membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan bercadang untuk mengajukan kes berkenaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Sumber : Bernama