Menyamar orang susah minta makanan, rupanya penyamun!

MENYAMAR seperti orang kesusahan dengan mengetuk pintu rumah mangsa untuk meminta makanan sebelum menjalankan kegiatan samun.

Itu taktik yang digunakan sekumpulan penjenayah yang terdiri daripada dua individu lelaki dan seorang wanita.

Kejadian itu berlaku pada 23 Oktober lalu melibatkan seorang mangsa lelaki berusia 51 tahun dalam kejadian di Kuil Sri Maha Karumariamman, Jalan Segambut Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa yang terpedaya dengan taktik mangsa telah membuka pintu sebelum diserang dua suspek lelaki.

Kenyataan yang dikeluarkan polis.


“Suspek telah bertindak memukul mangsa dengan kayu di kepala, badan dan muka serta membawa lari cincin emas, wang tunai RM500, pasport, serta dua telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan kesemua suspek berusia 16 hingga 35 tahun itu semalam pada jam 11 malam.

Hasil pemeriksaan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain turut berada dalam senarai individu dikehendaki.

Manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Kesemua mereka kini direman selama lima hari bermula semalam.