Anak Mat Sabu bebas dakwaan dadah

ANAK bekas Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu, Ahmad Saiful Islam hari ini dibebaskan daripada tuduhan salah guna dadah di sebuah hotel pada 2 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan membenarkan rayuan yang dikemukakan Ahmad Saiful Islam, 33 tahun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel pada jam 2.05 pagi pada 5 Januari 2019.

Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan itu turut memperuntukkan hukuman penjara selama lapan bulan.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah pada masa itu mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.