Bekalan elektrik rumah judi dipotong, nak sambung semula? Mohon kepada polis

POLIS melakukan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melakukan pemotongan bekalan elektrik melibatkan premis judi di Jalan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, operasi berkenaan dilakukan pada jam 3 petang hasil permohonan yang dibuat IPD Dang Wangi.

“Pemotongan bekalan tenaga letrik ini dilakukan mengikut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289].

“Mana-mana premis yang telah diputuskan bekalan tenaga letrik, bekalan letrik tidak boleh disambungkan kepada premis itu oleh pihak pembekal atau pemegang lesen tanpa kebenaran bertulis dari pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Timbalan Penguasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, operasi terhadap premis judi pada 21 Oktober lalu, seramai 17 individu ditahan termasuk penjaga premis serta 15 lagi individu yang leka bermain judi.

Polis turut membuat beberapa rampasan antaranya sembilan komputer riba, peralatan data internet, dan wang tunai berjumlah RM664.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari lima ribu ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau keduaduanya sekali.