Mencubit Seorang Budak, Wanita OKU Maut Dipukul dan Diseterika

Hanya kerana mencubit seorang kanak-kanak, wanita kelainan upaya (OKU) intelektual dipukul menggunakan kayu panjang dan diseterika badannya hingga maut.

Sekumpulan individu bertindak kejam terhadap mangsa dalam satu kejadian di Seri Kembangan semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan berkata, pihak polis menerima laporan daripada kakak mangsa yang memaklumkan adiknya ditemui tidak bernyawa di rumah berkenaan.

“Polis menerima maklumat dari kakak mangsa memaklumkan adik perempuannya ditemui meninggal dunia di rumah berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa maut dipukul menggunakan kayu panjang dan diseterika secara berulang-ulang sehinggakan mengalami kecederaan pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan daripada laporan tersebut, pihak polis menahan tujuh individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. Empat daripadanya adalah lelaki manakala tiga lagi adalah wanita.

“Semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 79 tahun dan berasal dari Lembah Klang.

“Siasatan lanjut mendapati motif kejadian bunuh disyaki kerana mangsa yang memegang kad OKU (Intelektual ) dikatakan memarahi dan mencubit anak salah seorang suspek berusia lingkungan dua hingga tiga tahun,” katanya.

Sumber : Harian Metro