Perkarangan Mahkamah Kecoh, Teman Lelaki Didakwa Bunuh Bella

Teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas tuduhan membunuh ibu tunggal dua anak, Mira Sharmilah Samsusah, 32 atau lebih dikenali sebagai Bella.

Tertuduh yang merupkan bekas posmen didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 11 malam, 14 Disember hingga 5.30 pagi, 15 Disember 2023 di di Jalan Kelapa Bali, Taman Soga hingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.

Sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nirasidag A. Rahman, tertuduh kelihatan mengangguk faham.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.