Menantu Hantu Sibuk Pinjam Along, Rumah Mentua Pula Disimbah Cat Merah

Foto: Sinar Harian

IPOH, 6 September- Sepasang suami isteri warga emas bersama anak lelakinya hidup dalam ketakutan akibat diugut along gara-gara menantu perempuannya gagal menjelaskan pinjaman.

Pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di Jalan Raja Dr Nazrin Shah hari ini, Chiang Leong Pan, dari Taman Bercham Indah mendakwa dua kereta milik anak lelaki dan isterinya serta pagar rumahnya disimbah cat merah kira-kira pukul 9 pagi Ahad lalu semasa mahu keluar rumah.

Beliau yang merupakan seorang juruteknik berkata terdapat dua keping kertas dilekat di tembok pagar rumah yang tertera nama menantunya serta bertulisan amaran supaya melangsaikan segera hutang yang dipinjam.

“Selepas kejadian itu, saya menghubungi menantu saya yang bekerja di Singapura dan dia mengaku ada meminjam along.

“Bagaimanapun saya tidak pasti berapa jumlah yang dipinjamnya,” katanya.

Warga emas berusia 60 tahun itu dia juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama dan mengharapkan tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.

“Saya tidak terlibat dengan pinjaman along dan bimbang sekiranya selepas ini terjadi perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.