Sambut Hari Jadi Terlalu Bising Sehingga Cetus Pergaduhan Dua Kumpulan

Foto: Kosmo

KLANG – Sambutan hari jadi di sebuah restoran bertukar pergaduhan melibatkan dua kumpulan dalam kejadian di sekitar Bandar Baru Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, beberapa pelanggan di restoran tersebut cedera dan telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas enam individu yang sedang menyambut hari jadi salah seorang rakan mereka telah membuat bising di restoran tersebut.

Katanya, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga menimbulkan suasana tegang sehingga mencabar antara satu sama lain sebelum suspek memanggil kira-kira 20 orang rakannya.

“Pergaduhan kemudiannya berlaku dengan turut menyerang pelanggan lain yang sedang makan dalam restoran tersebut.

“Beberapa suspek yang terlibat dalam pergaduhan ini telah dikenal pasti polis dengan ada antaranya pernah ditangkap sebelum ini,” katanya hari ini.

Jelas beliau, usaha mengesan bukti dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu.

Justeru, kata Vijaya Rao, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. 

Sumber: Kosmo