Lagi Kes Kanak-Kanak Didera Pengasuh Sehingga Cedera Kepala Dan Tangan

Sumber: Kosmo

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun mengalami kecederaan pada dahi, kedua-dua belah pipi dan calar di tangan selepas didera pengasuh wanita di sebuah pusat jagaan kanak-Kanak, Bandar Seri Permaisuri Cheras, di sini.

Dua klip video berdurasi satu minit dan 56 saat tular di laman Facebook dan berjaya dikesan oleh pihak polis kira-kira pukul 9.39 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, hasil siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak terbabit telah membuat satu laporan polis berkenaan kejadian penderaan tersebut pada pukul 11.28 pagi, semalam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah membuat tangkapan ke atas suspek seorang wanita tempatan berusia 28 tahun pada pukul 1 tengah hari semalam.

“Suspek telah serah diri dan ditahan 24 jam sebelum diberi jaminan polis manakala kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan iaitu bengkak pada bahagian dahi, tangan calar dan merah pada kedua-dua belah pipi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo