Mayat lebih empat hari ditemui, terkunci dari luar rumah

SEORANG mayat lelaki ditemui dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada empat hari di sebuah pangsapuri City Height, Kajang pada jam 9.24 pagi tadi.

Menurut Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, pihaknya mendapati mangsa dikatakan telah terkunci dari luar rumahnya.

“Pintu rumah didapati telah terkunci dari luar dan setelah berjaya dibuka didapati seorang lelaki berusia 41 tahun telah meninggal dunia.

“Mayat ditemui berada di atas kerusi di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, anggota bomba terpaksa menggunakan beberapa peralatan bagi tujuan membuka pintu rumah berkenaan yang turut dihadiri pihak polis.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Tan Chu Huang, 41 tahun telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.