‘Anonymoz Merdeka Challenge’ taruh RM2,000 untuk kaki E-Sports!

E-SPORTS atau E-Sukan bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Beberapa tahun kebelakangan ini, pembangunan E-Sukan semakin berkembang pesat dan telah mendapat sokongan daripada kearajaan melalui dana-dana yang telah diperuntukkan.

Justeru itu, Anonymoz Gaming, sebuah organisasi E-Sukan yang diterajui oleh seorang anak muda iaitu Muhammad Haikal Mohd Fauzi ataupun dikenali sebagai Ben Haikal, juga tidak mahu terlepas menceburkan diri dalam pembangunan E-Sukan.

Haikal, 25, juga menjelaskan dia berpegang teguh dengan visi ‘Menjadi salah satu organisasi E-Sukan terkemuka di peringkat Antarabangsa’ yang mensasarkan golongan anak muda dalam mengembangkan bakat mereka di dalam industri E-Sukan.

Organisasi ini berharap, dengan adanya program- program sebegini, ia bukan sahaja mampu mengembangkan karier E-Sukan anak muda dan memajukan industri E-Sukan Malaysia, diharap juga mampu mengelakkan anak muda daripada terjatuh ke kancah aktiviti yang tidak sihat seperti dadah, lumba haram dan sebagainya.

Mengambil kira Sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini, Anonymoz Gaming akan menganjurkan pertandingan E-Sukan ‘Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge’.

Tidak seperti pertandingan- pertandingan yang pernah dianjurkan sebelum ini, pertandingan kali ini membawa sedikit kelainan dimana penganjur akan menyajikan persembahan bertenaga artis-artis tempatan iaitu Apak Harry Khalifah dan Syafiq Farhain.

Apak dan Syafiq Farhain bakal membuat persembahan istimewa.

Kedua-dua penyanyi ternama ini akan membuat persembahan secara langsung semasa acara pembukaan di mana Apak dan Syafiq akan menyanyikan sebuah lagu patriotik.

“Idea ini saya dapat ketika berbincang secara maya bersama beberapa orang wakil daripada pihak hiburan. Selama ini saya lihat organisasi E-Sukan ini selalu bergerak secara solo tanpa bergandingan dengan mana-mana industri lain di Malaysia.

“Selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk dari akibat pandemik COVID-19 dimana kebanyakan artis telah terkesan, saya berpendapat tidak ada salahnya sekiranya saya mencuba sesuatu yang baru dimana E-Sukan digandingkan dengan elemen hiburan. 

“Saya berharap dengan usahasama ini mampu menjadikan trend setter untuk pertandingan-pertandingan E-Sukan yang lain secara tak langsung mampu membantu antara satu sama lain dalam menghadapi wabak pandemik ini,” ujar Ben Haikal. 

Untuk pertandingan kali ini, ia akan diadakan sepenuhnya secara maya dan bakal disertai 128 pasukan yang akan terlibat bukan sahaja daripada Malaysia, malah dari negara jiran Indonesia dan Myanmar.

Peringkat saringan akan bermula pada 29 Ogos 2021.

Hadiah pool bernilai RM2,000 menjadi taruhan untuk direbut semua pasukan yang terlibat.