Mat Sentol Dapat Anugerah Kehormat Pertama Dunia

Lagenda filem Melayu dan juga seorang pelawak, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya dianugerahkan Anugerah Kehormat Permata Dunia daripada Universiti Multimedia (MMU)

Buat julung kalinya MMU memperkenalkan anugerah itu dan ianya diberikan kepada Abdul Rasip bagi mengiktiraf serta menghargai sumbangannya dalam industri kreatif tanah air.

“Pak Mat rasa sangat gembira sebab ada juga orang yang masih lagi ingat pada Pak Mat.

“Zaman dahulu buat filem karya seni sinematik, semua buat sendiri (berbanding kecanggihan teknologi masa ini).

“Saya suka mencuba, jadi idea pun datang semula jadi,” katanya pada Majlis Apresiasi Penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia 2023 di sini pada Khamis.

Mat Sentol pernah membintangi banyak filem antaranya Mat Bond, Mat Magic, Mat Karong Guni, Mat Toyol dan Mat Tiga Suku.

“Kepada anak-anak muda, kalau hendak buat apa-apa, buat sahaja, asalkan ia bukan perkara yang salah atau negatif,” katanya.

Anak kelahiran Muar ini sempat memberikan nasihat kepada anak-anak muda untuk  sentiasa berani ceburi dalam memajukan diri.

Sumber : Sinar Harian