Malaysia terima pelaburan tertinggi dalam sejarah, RM170 bilion dari China

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berjaya meraih pulangan pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Beliau menjelaskan, ia sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur dari China, terhadap ekonomi Malaysia.

Beliau mengumumkan demikian selepas berakhir Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di sini, hari ini  yang melibatkan seribu peserta dari kedua-dua negara  dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI.

Anwar turut menyampaikan ucaptama pada forum yang  menyaksikan sekurang-kurangnya 20 Memorandum Persefahaman ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China.

Memetik laporan Buletin TV3, Perdana Menteri turut meluahkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan jangka sederhana hingga jangka panjang Malaysia akan kekal baik.

Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia menghadiri sesi mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pelabur berprofil tinggi serta tokoh korporat china.

Mesyuarat sejam itu disifatkan beliau memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam aspek perdagangan dan pelaburan, khususnya yang membabitkan komitmen pelabur dari China.

Beliau berkata, perbincangan mendalam membabitkan ramai kapten industri terkemuka itu sebagai sesuatu tidak pernah berlaku sebelum ini dan cukup bermakna.

Justeru, ia dilihat sebagai peluang yang baik selain menjadi permulaan baharu buat Malaysia.

Gambar & Sumber : Buletin TV3