KPM Kekurangan 19,431 Guru, Rancang Pengambilan Khas Penuhi Kekosongan Di Sekolah

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini memaklumkan kekurangan sebanyak 19,431 atau meliputi 4.49 peratus di seluruh negara pada ketika ini melibatkan beberapa mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, jumlah pegawai pendidikan yang sedang berkhidmat adalah seramai 428,279 dengan KPM sedang dalam perancangan untuk mengadakan pengambilan khas untuk mengisi kekosongan itu yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kekosongan itu disebabkan daripada persaraan wajib, persaraan pilihan kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji meletak jawatan dan meninggal dunia.

“Langkah bagi mengatasi kekurangan guru ini semua kita telah huraikan secara lanjut pada sesi Dewan Rakyat dan KPM sedang dalam perancangan untuk mengadakan pengambilan khas untuk guru-guru ini yang akan diumumkan dalam masa mungkin satu atau dua bulan lagi

“Secara keseluruhan semua negeri memang ada masalah kekurangan guru tidak kira sekolah bandar atau luar bandar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu di sini, hari ini.

Terdahulu, Hui Ying berkata, pameran itu selaras dengan iklan pengambilan guru daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) telah mula dibuka sejak 15 Mac lalu sehingga 14 April ini.

Beliau berkata, pameran itu menyediakan platform kepada pelajar sekolah menengah khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk mengetahui dengan lebih mendalam peluang yang disediakan kepada mereka di IPTA selain Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, matrikulasi, politeknik dan sebagainya.

Katanya, ia adalah pameran kedua selepas pameran program sama di Klang, Selangor dengan pameran seterusnya akan diadakan di Ipoh, Perak pada 7 April dan Batu Pahat, Johor pada 8 April ini dengan KPM turut mengambil maklum terdapat penurunan bilangan pelajar yang melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan sekolah menengah.

“Kita memang tahu sebab itu, kita mengadakan pameran sebegini dan memperbanyakkan program turun ke sekolah untuk menggalakkan murid melanjutkan pelajaran.

“Kalau mereka tidak berminat menjadi guru kita ada banyak pilihan lain meliputi pelbagai bidang seperti rekaan pakaian dan kulinari jadi kita menyeru ibu bapa dan guru untuk menggalakkan anak-anak meneruskan pelajaran,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Sumber gambar – Johor Kini | Sumber laporan – Harian Metro