Malaysia catat kematian pertama akibat Covid-19

Selepas beberapa bulan menyerang dunia, Covid-19 hari ini meragut nyawa seorang rakyat Malaysia

Mangsa yang juga seorang paderi daripada Gereja Baptis Emmanuel, Kuching, Sarawak berusia 60 tahun yang disahkan meninggal dunia 11 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Menerusi kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri dalam proses mengenalpasti kontak rapat mangsa setakat hari ini.

“Seramai 193 kontak rapat mangsa sedang dikesan dan diarahkan menjalani kuarantin.

“Sarawak merekodkan 11 kes baharu hari ini dan enam daripadanya dari Kuching, tiga dari Limbang dan masing-masing seorang dari Betong dan Lawas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka kini dirawat di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri.

“Sebanyak 35 orang diletakkan di bawah pesakit pengesanan kes yang disyaki (PUI) manakala 204 pesakit masih lagi menunggu keputusan ujian darah.

“Setakat ini, 45 kes Covid-19 di Sarawak di kesan di bawah empat kluster iaitu kluster Sri Petaling, Gereja Kuching, Sarikei dan satu di Kuching,” katanya.