Dato’ Hattan Bergaduh Dengan Dato’ Aliff Syukri!

    I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSVYMY3) minggu kelima menyaksikan pertelingkahan pendapat antara Dato’ Hattan dan panel jemputan Dato’ Aliff Syukri! Adakah mereka akan berbaik atau akan terus bermasam muka antara satu sama lain?

    Program yang diadaptasi daripada program hiburan popular Korea Selatan, ICSVYMY3 menceriakan hujung minggu anda setiap hari Ahad dari jam 9.00 sehingga 10.30 malam di TV3 dan boleh strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . Siaran ulangan dapat ditonton menerusi TV9 pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.

    Seperti minggu-minggu sebelum, panel tetap ICSYVMY3 adalah Yusry Abdul Halim, Jihan Muse dan Mark Adam. Pada minggu ini, ICSYVMY3 membawakan penampilan khas penyanyi jemputan veteran iaitu Dato’ Hattan. Selain itu, selebriti tanah air, Rozita Che Wan (Che Ta) dan usahawan terkenal, Dato’ Aliff Syukri dijemput sebagai panel penyiasat pada minggu ini. Persoalannya, adakah kombinasi penyanyi veteran, selebriti dan jutawan ini dapat memilih penyanyi sebenar? Atau mereka akan tersalah memilih penyamar bersuara sumbang?

    Kehebatan Dato’ Hattan meneka penyamar terbukti apabila beliau menyingkirkan seorang pensyarah kolej swasta (Mohd Firdaus Bin Abdul Ghani) yang bersuara sumbang pada pusingan pertama.

    Di pusingan kedua pula, kesemua panel turut sebulat suara dengan pilihan Dato’ Hattan untuk menyingkirkan penyanyi misteri kelima iaitu seorang pelakon tambahan (Muhammad Akmal Bin Tukiman) yang ternyata memang seorang penyamar. Shuk turut menyatakan bahawa mereka berdua pernah berlakon bersama. Malangnya, pilihan kedua Dato’ Hattan, seorang pengurus syarikat muda (Muhd Izzrin Irfan Bin Mohd Ismail) sebenarnya penyanyi sebenar. Che Ta dan panel penyiasat yang lain amat mempercayai Izzrin sebagai penyanyi sebenar kecuali Mark Adam. Alunan lagu nasyid ‘Sesungguhnya’ yang didendangkan oleh Izzrin telah memukau semua penonton dan panel di pentas penentuan.

    Pusingan ketiga menjadi riuh sekali kerana keletah Dato’ Aliff Syukri yang begitu yakin bahawa penyanyi misteri keenam, seorang pegawai bomba bantuan (Mohamad Eizlan Shah Bin Mohd Naharudin) adalah seorang penyamar kerana penampilannya yang tidak menarik. Oleh itu, Dato’ Hattan telah menyingkirkan penyanyi misteri tersebut kerana ingin membuktikan kepada Dato’ Aliff bahawa bomba itu ialah seorang penyanyi sebenar. Di pentas penentuan, Dato’ Aliff terus pengsan mendengarkan suara lunak bomba tersebut kerana dia ialah penyanyi sebenar, yang membawakan lagu Drama dari kumpulan Drama Band khas untuk Dato’ Aliff si Raja Drama.

    Memasuki pusingan terakhir, penyanyi misteri ketiga, seorang jururawat (Noorhidayah Abdul Hamid) telah disingkirkan walaupun majoriti penonton dan panel penyiasat kecuali Dato’ Aliff memilih dia sebagai penyanyi sebenar. Sekali lagi Dato’ Hattan membuat keputusan mengikut pilihan Dato’ Aliff sehingga Jihan mengkritik perbuatan ini dengan mengatakan ‘hanya seorang Dato’ boleh menasihati Dato’ yang lain’. Di pentas penentuan, Dato’ Hattan tergamam kerana ternyata jururawat itu ialah penyanyi sebenar.

    Akhirnya, pilihan duet Dato’ Hattan ialah seorang pelajar ASWARA yang juga merupakan seorang penjual burger (Nur Asya Syamimi Binti Mohd Shabudin). Rupa-rupanya dia seorang penyamar bersuara sumbang, “muka cantik, suara sedih” kata Dato’ Aliff selepas persembahan duet penyamar tersebut bersama Dato’ Hattan. Secara automatik, Nur Asya berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

    Episod 5 sudah ‘trending #2’ di YouTube selepas disiarkan. Jangan ketinggalan untuk terus mengikuti episod seterusnya yang menampilkan Erra Fazira sebagai artis jemputan dan Eira Syazira, Kamal Adli dan Yusuf Bahrin sebagai panel penyiasat jemputan pada 22 Mac 2020.

    Bersiaran sepanjang 10 episod dan 1 episod khas, program ini mempamerkan seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan untuk memeriahkan lagi suasana di studio ICSYVMY pada setiap episod. Tugas para penyiasat bertujuan membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyanyi misteri suara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri yang ditampilkan.

    ICSYVMY3 dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean LJE dan menampilkan Oppo sebagai penaja bersama untuk kali kedua dalam musim ketiga ini. Disokong oleh Hot FM sebagai radio rasmi, manakala xtra, Oh Bulan! dan Senang Terhibur ialah rakan digital. Kru penerbitan ICSYVMY3 diketuai oleh Mas Ayu Haji Ali sebagai penerbit eksekutif dan Lucent Chong Kien Wen sebagai penerbit dari Primeworks Studios.

    Berhibur dengan pelbagai gelagat dan kejutan dalam ICSYVMY3 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . Siaran ulangan juga dapat ditonton menerusi TV9 pada setiap hari Sabtu, pukul 9.00 malam. Gunakan tanda pagar #ICSYVMY dalam merancakkan perbualan di platform media sosial.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.