Lima Beradik Yatim Piatu Sekelip Mata, Ibu Bapa Maut Dalam Kemalangan Elak Babi Hutan

Lima beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka maut dalam sebuah kemalangan.

Pasangan suami isteri itu maut selepas motosikal jenis Duke KTM dinaiki mereka terbabas merempuh tiang elektrik apabila cuba mengelak daripada seekor babi hutan yang melintas di bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini pada Khamis.

Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, dan isteri, Suhana Othman, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan juga di beberapa bahagian badan lain.

Anak sulung pasangan tersebut, Fatin Hanani, 23, berkata, pada awalnya dia tidak percaya dengan kejadian yang menimpa kedua ibu bapanya ketika diberitahu oleh anggota polis yang hadir memaklumkan berita tersebut di rumah sewa mereka di Taman Pahlawan.

“Selepas anggota polis menunjukkan kad pengenalan kedua orang tua saya, baru saya percaya dan terus memeluk empat adik lain dan menangis.

“Polis bawa kami ke lokasi kejadian dan terkejut melihat tubuh bapa di bawah motosikal manakala ibu terbaring tidak sedarkan diri bersebelahannya,” katanya.

Dia bersama adik-adiknya, Aida Batrisya,17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Iman, 6, kini hilang tempat bergantung.

Sebelum kejadian, ibu bapa mereka keluar untuk ke kedai makan.

Jenazah pengurus jualan bersama isterinya itu selamat dikebumikan satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, Merbok pada petang Khamis.