Lelaki tayang gari rupanya buruh menyamar polis

TULAR baru-baru ini melibatkan seorang individu lelaki yang menunjukkan gari terhadap seorang pemandu susulan tidak diberi laluan untuk memotong laluan.

Perbuatan itu dikatakan bertujuan untuk menakut-nakutkan pemandu berkenaan yang tidak memberi ruang kepada suspek untuk memotong laluan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, insiden itu mempunyai kaitan dengan isu rumah sewa.

Susulan kejadian tersebut, polis telah menahan suspek berkenaan yang juga merupakan seorang buruh menyamar sebagai anggota polis pada jam 10 pagi selepas mangsa membuat laporan pada hari yang sama.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video berkenaan dengan niat untuk menakut-nakutkan serta meminta mangsa yang berusia 32 tahun menghormati dia yang kononnya seorang anggota polis.

“Suspek berbuat demikian selepas dia dan mangsa mempunyai masalah berkaitan isu rumah sewa sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. Ia memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya,” katanya lagi.