Lelaki Rogol Dua Anak Tiri Sejak 7 Tahun Lalu

Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol dua anak tirinya yang masing-masing berusia 13 dan 15 tahun sejak tujuh tahun lalu di sebuah rumah di Tanjung Kling, Melaka.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 27 tahun itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada nenek sebelum ibu kandung mereka berusia 39 tahun membuat laporan polis.

“Pada awalnya, dua remaja tersebut mula menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada nenek mereka dan tidak memberitahu hal berkenaan kepada ibu mereka kerana bimbang wanita itu tidak mempercayai perbuatan suaminya.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa sering diraba oleh bapa tiri mereka sejak di bangku sekolah rendah lagi dan mangsa yang berusia 15 tahun telah dirogol sebanyak empat kali sejak Darjah Empat manakala adiknya pertama kali dirogol minggu lalu,” menurut kenyataan Timbalan Ketua Polis Melaka, Md Nazri Zawawi ketika dihubungi pemberita.

Jelasnya lagi, kedua-dua mangsa dirogol ketika ibu mereka keluar berniada antara jam 5.30 petang hingga 10.30 malam.

“Ibu kandung mangsa ini merupakan seorang peniaga di Tanjung Kling dan mangsa-mangsa ini dirogol apabila mereka tinggal bersama suspek di rumah.

“Apabila dimaklumkan berhubung kejadian terkutuk ini, ibu mangsa yang juga pengadu bertanya kepada suaminya, bagaimanapun lelaki itu menafikannya,” tambahnya.

Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan di sebuah hospital tempat suspek bekerja kira-kira 11 malam tadi.

Sumber : Awani

.