Lelaki Maut Terkena Letupan Bunga Api di Port Dickson

 

Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung tempat letak kenderaan di sebuah bangunan hotel di Port Dickson pada Ahad.

Ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, kedua-dua mangsa dipercayai sedang melakukan persiapan sambutan ambang tahun baharu 2024 di hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang berusia 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka manakala rakannya yang berusia 39 tahun di hantar ke Hospital Port Dickson untuk menjalani rawatan lanjut.

“Kedua-dua mangsa merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan memasang bunga api untuk pertunjukan sempena malam ambang tahun baharu 2024 di hotel berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.