Ronaldo Hadiahkan Porsche Sempena Hari Lahir Ibu

Cristiano Ronaldo menutup tirai 2023 dengan menggembirakan ibunya apabila pemain bola sepak itu menghadiahkan sebuah kereta Porsche sempena ulang tahun kelahiran ibunya pada malam tahun baru.

Bintang Portugal dan ibunya, Dolores Aveiro, 69, pulang ke kampung halaman mereka di Madeira untuk menyambut ulang tahun ibunya itu.

Dolores kelihatan sebak apabila anak lelaki Ronaldo, Cristiano Ronaldo Jr menunjukkan kereta Porsche tersebut. Dolores sebelumnya tidak menyedari bahawa kereta itu adalah untuknya.

Dia kemudian ditunjukkan secara ringkas bagaimana kereta baharu itu berfungsi, manakala keluarganya, termasuk Ronaldo sendiri, menonton dari dalam garaj.

Kakak Ronaldo, Katia, turut memuji adiknya di Instagram kerana bermurah hati untuk menghadiahkan ibu mereka sebuah kereta mewah.

“Jika dia gembira, itu kerana anaknya mengingatinya dan bukan kerana nilai hadiah itu. Hargailah ayah dan ibumu dan semoga anda dipanjangkan umur,” katanya.

Sumber : Harian Metro, SNL24