Lelaki Bakar Kedai Sebab ‘Frust’ Cinta Ditolak

Seorang lelaki bertindak membakar sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Besar, Langkap di Teluk Intan pada hari Sabtu disebabkan bengang kerana cintanya ditolak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 54 tahun yang dalam keadaan mabuk bertindak membakar tempat kerja wanita yang dipikatnya itu.

“Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk cuba memikat wanita berusia 46 tahun itu.

“Wanita terbabit menolak dengan cara baik kerana telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak,” katanya kepada Sinar Harian pada hari Ahad.

Menurut beliau, suspek yang juga seorang penganggur mengamuk hingga mencederakan mangsa serta melemparkan kata-kata lucah.

“Mangsa membuat laporan polis kerana takut dengan ancaman mangsa yang mengugut mahu membakar dirinya dan kedai tersebut.

“Semasa membuat laporan, kedai yang dimiliki adik mangsa dilaporkan terbakar. Pihak bomba berjaya memadam kebakaran tersebut dan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek berjaya ditahan polis di tempat kejadian.

“Menurut saksi, suspek datang dengan menyimbah minyak petrol lalu membakar kedai tersebut. Semasa tangkapan, suspek mengalami melecur di muka, tangan dan kaki.

“Suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol telah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan,” katanya.

Jelas beliau, suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 323 Kanun sama iaitu mencederakan mangsa.

Sumber & Gambar : Sinar Harian