IPU KL, Pulau Pinang, Johor Direkodkan Tidak Sihat

Tiga kawasan melibatkan Cheras, Kuala Lumpur; Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Segamat, Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 9 pagi Isnin.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar IPU Cheras mencatatkan bacaan 151; Seberang Jaya (145) dan Segamat (108), lapor Sinar Harian.

Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Sebanyak 65 stesen pula mencatatkan bacaan sederhana, dengan Minden, Pulau Pinang merekodkan angka tertinggi iaitu 96, diikuti Kota Bharu, Kelantan (94), Langkawi dan Alor Setar, Kedah masing-masing (93).

Selain itu, Kangar, Perlis merekodkan bacaan 92 manakala Sungai Petani, Kedah dan Tanah Merah Kelantan mencatatkan bacaan sama iaitu 88.

Sumber gambar – Majalah Sains | Sumber laporan – Sinar Harian