Lari ‘roadblock’ masa trafik sesak



POLIS sedang memburu seorang suspek pemandu yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) ketika keadaan trafik sedang sesak.

Kejadian berlaku pada jam 2 petang di sekatan Tol Kajang apabila difahamkan suspek berkenaan mengelak daripada pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah berkata, terdapat makluman awal daripada orang awam berhubung niat suspek berkenaan.

“Kenderaan tersebut enggan melalui sekatan jalan raya dan cuba berpatah balik. “Dalam kesesakan lalulintas  anggota polis telah pergi ke arah kenderaan tersebut dan mengarahkannya berhenti namun suspek enggan berhenti dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu kenderaan secara melulu dan merbahaya.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas apabila enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan hendak dijalankan.

Polis menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan bagi membantu usaha memburu suspek.