Berkenalan di Instagram, remaja wanita diugut sebar gambar bogel

Woman photo created by rawpixel.com - www.freepik.com

SEORANG remaja perempuan berusia 15 tahun menerima ugutan daripada seorang suspek yang ingin menyebarkan gambar bogelnya.

Difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dah berkenalan sejak tempoh tiga bulan lalu menerusi aplikasi Instagram.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ugutan dibuat bertujuan meminta mangsa untuk memperkenalkan rakan-rakannya kepada suspek.

“Mangsa telah dipujuk untuk berbogel ketika membuat panggilan video.

“Suspek telah bertindak mengambil gambar berbogel tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Beh Eng Lai, pihaknya menerima laporan sekitar jam 4.08 petang semalam berhubung ugutan berkenaan.

Setakat ini polis sedang giat memburu suspek berdasarkan beberapa maklumat yang telah dikongsikan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia kerana membuat kesalahan jenayah menerusi media sosial.