Langgar kuarantin, polis ambil keterangan Lim Guan Eng esok

POLIS bakal memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng atas dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri yang akan berakhir esok.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, pihak akan mendapatkan keterangannya berdasarkan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Katanya lagi, polis akan turut merakam keterangan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, polis telah menerima tiga laporan berhubung dakwaan tersebut dan telah mula menjalankan siasatan.

“Kita sudah merekodkan semua keterangan individu yang membuat laporan polis dan hari ini kita akan merekodkan keterangan Setiausaha DUN serta KKM.

“Polis akan memanggil Guan Eng untuk siasatan selepas beliau tamat kuarantin pada 10 September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Gerakan dan MCA Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September.

Perkara itu selepas dia dikatakan menghadiri menghadiri sidang DUN negeri itu pada 2 September.

Lim Guan Eng ketika ini berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Bagaimanapun prosiding mahkamah ditangguhkan sehingga 22 September selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.