Lagak Samseng di Jambatan Pulau Pinang, Suami Isteri Mengaku Bersalah

Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menakutkan secara jenayah yang dilakukan kepada dua lelaki dalam kejadian di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penjual mi, Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50, dan isterinya, Ong Ser Ying, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama telah menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Faizul Mat Zain dan Mohd Shadid Sulaiman di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau ke Perai pada jam 5 petang, 5 Februari lalu.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari memohon mahkamah untuk mengenakan denda yang setimpal kerana perbuatan tertuduh yang membahayakan orang awam.

Nurul Rasyidah menjatuhkan hukuman denda RM 2,500 terhadap setiap tertuduh dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Sumber : Sinar Harian