KK Mart Baru Beroperasi Dua Minggu Dibaling Bom Petrol

Sebuah pasar raya KK Super Mart di Sungai Isap yang baru beroperasi dua minggu mengalami kebakaran kecil selepas dibaling molotov cocktail awal pagi tadi.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada jam kira-kira 5.14 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan terdapat individu yang tidak dikenalpasti membaling botol molotov cocktail hingga menyebabkan kebakaran di pintu masuk pasar raya KK Super Mart berkenaan.

Menurutnya lagi, ketika kejadian terdapat seorang juruwang wanita berada di kaunter bayaran manakala seorang pekerja lelaki berada di bahagian belakang.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ariz Ramli (@capricedaddycap)

“Pada masa itu secara tiba-tiba juruwang berkenaan terkejut kerana ada satu balingan molotov cocktail dari luar premis yang jatuh di atas karpet laluan masuk sehingga tercetus kebakaran.

“Saksi yang panik terus mengambil alat pemadam api lalu cuba memadamkan api dari terus merebak sebelum saksi menghubungi majikannya yang melaporkan kepada polis,”katanya di sini hari ini.

Pasar raya berkenaan mengalami kerugian dengan anggaran sebanyak RM 500 akibat perbuatan khianat tersebut.

Dalam pada itu katanya kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan termasuk mengenalpasti suspek terlibat.