Kedai Borong Diperiksa Melebihi Had Simpanan, KPDN Perak Sita Minyak Masak 4,240KG

Foto: Utusan Malaysia

IPOH, 15 Ogos- Sejumlah 4,240 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM16,224 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam satu pemeriksaan di Kawasan Perindustian Ringan, Kinta Jaya, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di sebuah premis borong barangan runcit pada kira-kira 11.30 pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kuantiti simpanan di premis itu mendapati ia menyimpan 14,740kg minyak masak pelbagai jenama iaitu melebihi had 10,000 kg yang dibenarkan pada satu-satu masa.

“Premis disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974,” katanya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi perseorangan.

Sementara bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.