Kerajaan nak umum darurat?

SPEKULASI berhubung kerajaan akan mengeluarkan perintah darurat menjadi perbualan hangat di media sosial hari ini susulan Mesyuarat Khas Kabinet yang diadakan hari ini di Putrajaya.

Lebih menimbulkan tanda tanya apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan telah tiba di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota sekitar jam 4.40 petang hari ni berhubung spekulasi bagi mendapat perkenan pelaksanaan darurat itu.

Menurut Akhbar Singapura dan Straits Times yang memetik sumber yang tidak didedahkan memberitahu, mesyuarat hari ini bagi membincangakan pembentangan Belanjawan 2021.

Ketika ini, pengisytiharaan darurat ekonomi merupakan salah satu langkah yang boleh menghalang pilihan raya sekaligus membuka ruang kepada kerajaan Perikatan Nasional menumpukan isu pandemik COVID-19.

“Ia tidak sama dengan darurat pada 1969, di mana tentera mengambil alih.

“Sebaliknya, kehidupan seperti biasa diteruskan di bawah perintah kawalan gerakan tetapi tanpa campur tangan politik,” menurut sumber itu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah tiba di perkarangan istana tersebut selepas menziarahi makam ayahanda baginda di Pekan.

Laporan akhbar tersebut turut mendakwa bahawa Raja-Raja Melayu telah dimaklumkan tentang kemungkinan kuasa khas diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemaskini: Kenderaan membawa Perdana Menteri dilihat beredar dari istana kira-kira jam 7.10 petang, selepas kira-kira dua jam setengah berada di situ.