“Kemenangan PH di Sandakan sudah mampu memberi petunjuk kepada kita” – Datuk Mahfuz Omar

Kredit-Sinar Harian

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata Pakatan Harapan (PH) berpeluang menawan Parlimen Kimansi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung 18 Januari ini biarpun kerusi itu menjadi kubu kuat UMNO.

Kemudian, beliau turut berkata bahawa tinjauan beliau dapat melihat sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan PH semakin baik.

Katanya lagi, ia termasuk kejayaan PH pada PRK Sandakan melalui kemenangan besar Ahli Parlimennya, Vivian Wong Shir Yee, pada Mei lalu.

“Rakyat Sabah ini agak berlainan dengan rakyat di Semenanjung, sentimen Sabah mereka sangat tinggi, kemenangan PH di Sandakan sudah mampu memberi petunjuk kepada kita.

“Saya percaya Parti Warisan Sabah (WARISAN) mampu memberikan pembaharuan di Sabah, kita sudah hampir dua tahun memerintah dan saya yakin rakyat dapat menilai cara kepemimpinan kita,” katanya dipetik Berita Harian 

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau akan turun padang membantu calon PH berkempen di kawasan itu bersama-sama jentera parti komponen lain termasuk bagi menyelami kehendak rakyat di sana.

Semalam, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dipetik berkata pihaknya akan menggerakkan jentera parti bermula pada hari penamaan calon dan bersama parti komponen PH lain berkempen pada PRK Kimanis.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis akan diadakan pada 18 Januari ini dan tarikh penamaan calon adalah pada 4 Januari dengan pengundian awal pada 14 Januari.

Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu melalui Hakim Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman sebagai tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, menurut laporan Berita Harian, Anifah yang juga bekas Menteri Luar telah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi menewaskan calon Warisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.