Kak KM Lega dan Bersyukur Peti besi, Jongkong Emas RM 2.1 juta Berjaya Ditemui

Usahawan sensasi Liana Rosli atau lebih mesra disapa Kak KM mengesahkan dia adalah ahli perniagaan yang membuat laporan berhubung rumahnya dipecah masuk pada 4 Mac lalu dan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM 3.5 juta.

Polis berjaya menemukan semula peti besi yang mengandungi empat jongkong emas milik seorang pempengaruh, yang “disembunyikan” di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor, hasil penahanan empat individu pada 5 Mac lepas.

Menurut Kak KM ketika dihubungi Kosmo! Online, dia hanya mampu menangis ketika dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah, bahawa barangan berharga miliknya telah pun ditemui.

“Saya ada di rumah ketika anggota polis datang. Selepas diberitahu telah jumpa semula barang-barang kepunyaan saya, beserta bukti gambar, saya terus melalak (menangis). Tak tahu nak cakap apa.

“Tak sangka, Allah SWT kembalikan semula hak saya. Ibaratnya, Tuhan pinjam sekejap dan pulangkan semula,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kak KM juga memuji kepantasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan dan berjaya memberkas suspek kurang daripada 24 jam.

Selepas kejadian yang menimpanya, Kak KM bercadang ingin berpindah rumah kerana merasakan tidak selamat tinggal di rumah sekarang.

“Saya jadikan kejadian ini sebagai pengajaran supaya jangan percaya kepada sesiapa. Sebenarnya orang yang pecah masuk rumah saya ini, adalah pengikut saya sendiri yang tahu perkembangan saya melalui media sosial.

“Dia pernah minta alamat, konon-konon nak datang ke rumah untuk ambil produk. Pengajaran kedua, kena lebih tingkatkan keselamatan di rumah. Walaupun ada televisyen litar tertutup (CCTV), tapi penjenayah tetap boleh lakukan kegiatan jenayah mereka.

“Jadi kena lebih berhati-hati,” ujarnya yang akan mengadakan majlis doa selamat bersama anak-anak tahfiz, malam ini.

Sumber : Kosmo!