Isu Laungan Azan: Alex Low Mohon Maaf Kepada Semua Umat Islam

PENGERUSI Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinacle, Tanjong Tokong, di sini, memohon maaf kepada penduduk dan masyarakat Islam mengenai isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di Surau Saidina Umar.

Permohonan maaf itu dilakukan Alex Low secara terbuka ketika sidang media berhubung isu berkenaan di kondominium terbabit hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor.

Beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat melarang laungan azan menggunakan pembesar suara di surau berkenaan.

“Saya juga mewakili Ahli Jawatan Kuasa (AJK) JMB memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Islam dan semua umat Islam mengenai isu ini.

“Secara peribadi juga saya memohon maaf jika ada perkataan menyinggung perasaan dan kami kesal serta kecewa kerana isu yang sepatutnya menjadi perbincangan dalam mesyuarat sudah menimbulkan salah faham,” katanya.

Mengulas lanjut, Alex berkata menerusi mesyuarat pada 9 Mei lalu, AJK JMB pihak pengurusan surau sudah mencapai persetujuan dan penyelesaian berhubung isu itu dengan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta laungan azan adalah bagi mendirikan solat.

“Jadi kami ingin jelaskan bahawa video berkenaan bukan mengenai laungan azan tetapi mengenai pemasangan pembesar suara di surau dan agenda yang diusulkan pada 12 Mac lalu itu, sudah ditarik balik kerana ia amat sensitif bagi dibincangkan malah video penarikan juga turut direkodkan.

“Sekali lagi kami dengan rendah diri memohon maaf supaya isu berkenaan tidak dibangkit semula bukan hanya di kawasan ini tetapi juga di Malaysia,” katanya yang turut meminta supaya video itu ditarik balik di media sosial bagi mengelak salah faham.

Semalam Harian Metro melaporkan mengenai video tular mesyuarat JMB itu yang mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di surau berkenaan.

Difahamkan, antara usul yang dicadangan ialah supaya pembesar suara diletakkan di dalam surau serta kelantangan pembesar suara laungan azan direndahkan, selain mencadangkan laungan azan dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin pada sidang media hari ini berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan serta menyelesaikan dan menggunakan cara diplomatik bagi selesaikan isu ini.

Sementara itu, Zakiyuddin berkata, pihaknya mendapati kewujudan video itu di media sosial adalah amat mengelirukan dan tidak menampilkan kejujuran serta dikeluarkan dengan niat tidak baik walau apa tujuannya.

“Dengan niat mencari penyelesaian segera serta memelihara Islam sebagai agama rasmi, Pejabat Agama Daerah Timur Laut sudah mengadakan mesyuarat pada 10 Mei dengan JMB dan pengurusan surau bagi menjernihkan kekeliruan malah banyak perkara sudah diselesaikan walaupun masih ada beberapa lagi isu yang dibincangkan.

“Malah JMB menerusi suratnya semalam, turut menyatakan pihaknya sama sekali tidak berniat atau bermaksud bagi menghalang sebarang seruan azan daripada dilaungkan di surau berkenaan,” katanya.

Menurut Zakiyuddin, MAINPP turut menyatakan rasa kesal dengan peranan yang dimainkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang Mohd Sophian Mohd Zain kerana membuat video kontroversi tular dengan nada menyemai kemarahan umat Islam seluruh negara sedangkan perselisihan itu sedang diurus dengan baik oleh semua pihak.

Sumber gambar & laporan – Harian Metro