Hujan berterusan, beberapa kawasan berdepan banjir kilat

CUACA hujan yang berterusan telah menyebabkan berlakunya limpahan air sungai sekali gus mengakibatkan banjir kilat di sekitar Klang, Shah Alam hari ini.

Menurut Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, insiden banjir membabitkan laluan Jalan Persekutuan dari arah Klang menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya lagi, banjir berkenaan berada pada kedalaman kira-kira empat kaki yang turut menyebabkan lima buah kenderaan terkandas.

Situasi yang membimbangkan memaksa pihak bomba untuk mengarahkan mangsa untuk beredar dari kenderaan dan berlindung di tempat yang lebih selamat.

Sementara itu, beberapa kawasan kediaman di sekitar Klang juga dikatakan terjejas akibat banjir tersebut.

Pihak bomba dikatakan sedang giat mengeluarkan kesemua mangsa dari kediaman mereka.

Dalam pada itu, kawasan sekitar Kuala Lumpur hari ini turut dilaporkan menghadapi situasi sama malah terdapat jalan yang mendap akibat kesan daripada banjir.

Difahamkan kesemua mangsa terlibat dalam proses untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara mengikut kawasan masing-masing.