Harga Satu Kontena Bundle Makin Stabil

Gambar : Foursquare

PERNIAGAAN pakaian bundle masih lagi terkesan akibat penularan pandemik Covid-19, malah hingga kini, trend perniagaan itu dan sambutan pembeli pakaian terpakai adalah mendatar.

Pengasas JBR Bundle Abdul Jabbar Bachtiar Nasution berkata, beberapa kesan besar berlaku dalam dunia perniagaan bundle akibat penularan pandemik.

JBR Bundle | Gambar : Foursquare

“Ia antaranya membabitkan penyusutan nilai ringgit. Ia memberi kesan terhadap import pakaian bundle dari Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan.

“Ini kerana, urusan pembelian barangan ini menggunakan dolar AS menyebabkan kos perniagaan meningkat dan keuntungan berkurangan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagaimanapun, menurut Abdul Jabbar, harga pakaian bundle tidak boleh dinaikkan kerana setiap jenis pakaian sudah mempunyai kadar harga tetap.

Katanya, ini ditambah dengan kualiti pakaian yang semakin merosot.

“Kesan daripada Covid-19 juga menyebabkan kuasa membeli berkurangan. Sebelum ini, peminat pakaian bundle mungkin membeli lima helai pakaian sebulan.

“Kini, mereka hanya membeli satu atau dua helai sahaja,” katanya.

Kata Abdul Jabbar lagi, satu lagi kesan besar ialah, peniaga pakaian bundle terpaksa menunggu giliran sehingga tiga minggu bagi menunggu bekalan satu kontena dari negara pengeksport untuk tiba ke negara ini.

“Namun, syukur kerana kos untuk satu kontena mula stabil awal tahun ini. Sebelum ini, kos satu kontena meningkat antara RM6,645 dan RM8,861,” katanya.

Sumber : Harian Metro