Haram Cium Hajar Aswad Jika Menyakiti Diri Sendiri dan Orang Lain – Dr Zulkifli  

 

Susulan video Hafiz Mahamad yang tular di media sosial semalam memaparkan dirinya berhimpit dan bersesak untuk memberi ruang kepada ‘team’ nya mencium Hajar Aswad, Dr Zulkifli telah memberi kenyataan di X beliau.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata walaupun mencium Hajar Aswad hukumnya adalah sunat, namun jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kpd diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram.

“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.

 

“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.

Dr Zulkifli juga sempat memberi nasihat kepada orang Islam di luar sana yang memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial.

“Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu.” Jelasnya.