Cucu Gunting Duit Pencen Atuk Buat Main Masak-Masak

Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Gelagat kanak-kanak yang menggunting duit pencen atuknya untuk dibuat main, mencuit hati pengguna media sosial hari ini.

Menerusi hantaran yang dibuat oleh pengguna yang dikenali sebagai Manja Juwita, katanya duit tersebut digunting untuk dibuat mainan ‘masak-masak’.

Paling mengejutkan, dalam sekeping gambar yang dimuat naik, kelihatan bekas berwarna biru itu penuh dengan not wang bernilai RM10 dan RM50 yang telah digunting.

“Musim cuti sekolah ni cucu duduk rumah kena jaga, jangan biarkan dia berseorangan.

“Habis duit pencen atuk dia gunting dikatanya nak buat main masak-masak,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Lantaran itu, hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada para pengguna media sosial yang geli hati dan ada juga yang menitipkan pesanan.

“Kaya atuk ni duit pencen letak merata-rata. Tidak hairan lah duit banyak cucu gunting buat mainan,” komen Rose.

“Anak-anak sekarang kreatif. Mereka meneroka segala apa yg ada di sekeliling. Perkembangan psikomotor turut berperanan dlm proses utk mengadaptasi benda-benda yang mereka sentuh,” komen Man.

“Kalau simpan duit betul-betul tak akan jadi macam ini. Boleh cuba bawa ke bank negara, mungkin mereka boleh bantu,” komen seorang pengguna yang lain.

Musim cuti sekolah sudah bermula sejak 25 Ogos lalu dan bakal berakhir pada 2 September depan.

Rentetan itu ramai ibu bapa mengambil peluang untuk membawa anak-anak pergi bercuti serta turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk mengisi waktu cuti anak-anak. 

Sumber: Kosmo