GRS rampas kerajaan Sabah dari Warisan, calon Ketua Menteri belum ditentukan

BARISAN Nasional (BN) Sabah akan berbincang dengan rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai hala tuju gabungan itu selepas berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, malam tadi.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya juga bersedia membincangkan apa saja masalah dan memastikan kerajaan baharu itu akan terus membela rakyat.

“Setakat 9.23 malam ini saya ingin memaklumkan bahawa GRS telah mendapat majoriti mudah dan boleh membentuk kerajaan.

“Sebagai ketua BN Sabah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah yang ingin berubah daripada jajahan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Insya-Allah GRS akan berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan terus membela nasib rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno Sabah, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata, beliau cukup yakin dan kerajaan baharu pimpinan GRS dapat dibentuk dengan semangat setiakawan.

“Kita akan membincangkan secara terperinci hala tuju ataupun ke arah mana kerajaan ini memfokus masalah-masalah rakyat di masa akan datang.

“Saya turut berterima kasih kepada jentera Umno dan rakan komponen BN lain yang berkampung di Sabah untuk membantu memenangkan calon BN termasuk Presiden Umno, Naib-Naib Presiden Bossku dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berkata, soal siapa Ketua Menteri akan dibincangkan bersama rakan GRS dalam masa terdekat.

GRS yang menaungi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Menurut keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tengah malam tadi, PN memenangi 17 kerusi manakala BN (14) dan PBS (tujuh), sekali gus membolehkannya merampas kerajaan negeri daripada Warisan Plus yang memperoleh 32 kerusi.

Warisan Plus pula terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Warisan memperoleh 29 kerusi manakala PKR (dua) dan UPKO satu kerusi.

Daripada 73 kerusi DUN keseluruhan di Sabah, baki lagi tiga kerusi dimenangi calon Bebas.

Sumber: Harian Metro