Gas Ammonia Bocor, 10 Pekerja Kilang Dikejarkan ke Hospital

Seramai 10 pekerja dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas berlaku insiden kebocoran gas ammonia di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan 11.15 pagi berhubung kejadian tersebut dan mendapati terdapat kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas tersebut.

Beliau berkata mangsa terdiri daripada lapan wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an, telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi rawatan selanjutnya.

 

“Kejadian melibatkan kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas ammonia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Kerja-kerja bagi menutup injap bocor sedang dilakukan oleh pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, anggota bomba terlibat telah mengarahkan semua penghuni premis melakukan evakuasi ke tempat yang selamat.

Sumber : Awani, Sinar Harian