“Dulu Ramai Tak Suka GST, Kini Ramai Suka Pula” – Ahmad Maslan

Foto: Malaysia Tribune

PETALING JAYA – ‘Hairan. Dulu ramai tak suka Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kini ramai yang suka pula,’

Itulah ulasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata, kini yang menyukai GST termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), peniaga dan penganalisis ekonomi.

Katanya, dulu beliau berhadapan dengan tentangan yang sangat hebat terhadap pelaksanaan GST, namun kini ramai yang membantu memberi penjelasan mengenai GST.

“Sekitar 173 negara atau 90 peratus sedang laksana GST atau Cukai Nilai Tambah (VAT). Penjelasan wajar terus diberikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan ketika GST dilaksanakan di negara ini berkata, cukai tersebut tidak akan dilaksanakan semula tahun ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa subsidi bersasar perlu dilaksana terlebih dulu sebelum memikirkan tentang kembalikan GST.

“Adakah GST akan dilaksana? Tahun ini tentu tidak. Tiada keputusan untuk akan datang. Namun, kajian dan penjelasan untuk kefahaman rakyat diteruskan,” katanya.

GST pernah diperkenalkan di Malaysia bermula 1 April 2015, bagaimanapun ia ditukar kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan pertukaran kerajaan pada 2018. 

Sumber: Kosmo